Buru penduduk lari PKPD sehingga ditemui

Buru penduduk lari PKPD sehingga ditemui

Ipoh: Penduduk yang melarikan diri daripada kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mengelak menjalani ujian calitan akan diburu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengesan golongan itu dan tidak berkompromi dengan arahan yang sudah dikeluarkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Jika ada yang cuba keluar dari sini semalam, kita akan cuba mengesan mereka semula seperti mana yang kita buat sebelum ini kerana kita ada data pemilik rumah serta penyewa,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan di kawasan PKPD di Zon B Taman Pinji Mewah di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah di sini dikenakan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.

Namun, tular di media sosial mengenai dakwaan terdapat individu yang melarikan diri dan cuba mengelak daripada berada di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Taman Meru 2C dikenakan perintah sama.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, pihaknya menggandakan kawalan dan pemantauan di laluan tikus yang berkemungkinan menjadi laluan penduduk untuk melarikan diri, malah turut dibantu Rukun Tetangga.

Katanya, ujian calitan komuniti sedang dilaksana dan kini menyasarkan kawasan penginapan bagi mengesan mereka yang positif.

Menurutnya, lebih 180 anggota daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melakukan penugasan secara bergilir-gilir bagi kedua-dua kawasan PKPD baharu.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648118/buru-penduduk-lari-pkpd-sampai-jumpa