Bukan persoal kuasa raja tapi pertikai nasihat pengisytiharan darurat – AMK

Bukan persoal kuasa raja tapi pertikai nasihat pengisytiharan darurat – AMK

Parti pembangkang tidak mempersoalkan kuasa institusi raja-raja Melayu tetapi mempersoalkan nasihat atau cadangan yang dikemukakan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat.

Pertikaian itu kerana pengisytiharan darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan seakan-akan langkah politik kerana seorang demi seorang ahli Parlimen blok kerajaan telah menarik diri daripada menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia disebabkan ketidakcekapan beliau dan kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang melanda rakyat dan negara.

Naib Ketua AMK Damansara, Dzulhilmi Zainol berkata, pengisytiharan darurat bukan ‘ubat’ sebenar untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedia ada.

Beliau yang membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa terus bermain berpolitik meskipun negara dalam pelaksanaan Proklamasi Darurat berkata, Wan Saiful Wan Jan perlu sedar bahawa ia bukan soal kekosongan jawatan Perdana Menteri.

Tetapi ia soal masa depan negara yang perlu dipimpin dan dibangunkan oleh individu yang mempunyai dokongan daripada sebahagian besar rakyat Malaysia melalui sokongan majoriti ahli Parlimen.

”Dalam konteks isu yang dibangkitkan, pembangkang secara keseluruhan mempertikai nasihat atau cadangan yang diutarakan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat, tidak timbul sama sekali soal mempertikaikan kuasa institusi raja-raja Melayu.

”Wan Saiful membuat tuduhan yang tidak berasas kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dengan menyatakan beliau masih sibuk mengejar jawatan mahu jadi perdana menteri,” katanya hari ini.

Tegas Dzulhilmi, Parlimen harus dipulihkan dan dikembalikan fungsinya kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

”Ianya benar-benar telah menjatuhkan imej negara apabila kita sudah pun terkenal sebagai negara yang berjaya membawa perubahan terhadap tampuk pemerintahan negara secara aman dan damai melalui Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, sedangkan di beberapa negara yang lain, perubahan telah berlaku melalui detik-detik kekerasan dan keganasan,” ujar beliau.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2021/01/18/bukan-persoal-kuasa-raja-tapi-pertikai-nasihat-pengisytiharan-darurat-amk/