Bukan namanya Zahid kalau gentar perbicaraan mahkamah

Bukan namanya Zahid kalau gentar perbicaraan mahkamah

Bukan namanya Zahid kalau gentar perbicaraan mahkamah. “Sekali lagi saya menegaskan di hadapan ribuan ahli UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bahawa saya tidak pernah takut dan gentar untuk berdepan perbicaraan mahkamah.”

Demikian pengakuan berani yang dikeluarkan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, beliau penuh yakin akan dapat membersihkan namanya daripada segala bentuk fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Saya menegaskan dengan penuh yakin bahawa diri ini tetap istiqamah akan membersihkan nama melalui lunas undang-undang yang sah, namun wajiblah menerusi perbicaraan yang adil.

‘Begitu juga Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berusaha sehabis baik bersama pasukan guamannya, namun perjuangannya tersekat kerana berdepan kesulitan yang ramai ketahui kisah menimpanya,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, mungkin Najib telah terhalang, tetapi beliau belum tewas kerana perjuangannya untuk menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan masih membara di sanubari rakyat terutama lebih 3.3 juta ahli UMNO.

“Justeru, propaganda konon ‘Presiden UMNO minta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan’ ekoran takut untuk berdepan pengadilan mahkamah adalah fitnah dan permainan persepsi lawan politik.

“Saksikan juga saya sedari awal menzahirkan sebuah keazaman yang nyata di mahkamah, walhal yang berpropaganda itu sejurus berkuasa pada 9 Mei 2018 melepaskan diri dan rakan subahat daripada pengadilan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid turut meluahkan rasa kecewa dengan beberapa pemimpin parti yang sanggup melompat parti demi melepaskan diri.

“Begitu juga sebahagian mereka adalah ‘katak-katak’ yang melompat keluar dari UMNO gara-gara mahu mengelak berdepan pendakwaan politik oleh musuh UMNO tanpa rasa malu mahu berbicara tentang ketakutan.

“Mereka itu tidak layak berkata tentang kes mahkamah yang dikenakan terhadap saya,” tegasnya.