Bukan bakar tapi bina jambantan, tegas Syed Saddiq

Bukan bakar tapi bina jambantan, tegas Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa Muda tidak akan menambah nilai kepada Pakatan Harapan (PH).

Presiden Muda itu berkata, partinya sejajar dengan kepentingan, nilai dan prinsip PH, serta akan diterima baik dalam gabungan itu.

“Ini bukan gabungan demi kesenangan. Kami percaya dengan idea reformasi yang ingin diketengahkan PKR. Kami mahu membina Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Syed Saddiq berkata, sistem pendidikan ialah bidang yang sangat memerlukan pembaharuan.

“(Kita juga perlu) mewujudkan sistem sosioekonomi yang menyediakan peluang sama rata, bukan hasil yang sama.”

Walaupun ia adalah parti baharu, katanya, pencapaian Muda dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini menunjukkan kemampuannya. Tanpa menyertai mana-mana gabungan ketika itu, Muda berjaya meraih kira-kira 13% undi popular.

Beliau berkata, analisis oleh pengulas politik, Bridget Welsh turut menunjukkan Muda mendapat sokongan paling banyak daripada pengundi Undi18 sejak PRN Johor.

Katanya, itu membuktikan Muda mampu membawa nilai tambah kepada PH.

Syed Saddiq berkata, cadangan kerjasama PH dan Muda akan menunjukkan pembangkang lebih bersatu, yang akan mempengaruhi pengundi atas pagar menyokong gabungan itu.

Ahli Parlimen Muar itu percaya beliau mampu meyakinkan pucuk pimpinan PKR dengan kemampuan Muda untuk membawa nilai kepada gabungan berkenaan.

“Saya mahu mengadakan libat urus dengan seramai orang yang boleh (dan) dengan cara paling membina yang mungkin. Saya mahu menjadi pembina jambatan, bukan pembakar jambatan.”

Dalam wawancara dengan FMT minggu lalu, Setiausaha Agung PKR, William Leong berkata, Muda tidak akan membawa sebarang nilai tambah kepada PH.

Leong berkata, akar umbi gabungan itu akan “lemah semangat” dan sukar untuk meyakinkan mereka yang bekerja tanpa lelah di lapangan bagi menyerahkan kawasan pilihan raya mereka kepada Muda.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda dilaporkan berkata, Majlis Presiden PH akan membincangkan permohonan Muda dan Parti Sosialis Malaysia untuk menyertai gabungan itu pada 5 Okt ini.

Hasbie yang menganggotai jawatankuasa PH berunding dengan dua parti itu berkata, rundingan dengan pemimpin Muda berjalan dengan baik dan “sangat positif”.