Buih besar gemparkan penduduk

Buih besar gemparkan penduduk

RAUB: Kewujudan buih besar di Sungai Tranum berhampiran Kampung Tras, di sini menggemparkan penduduk di kawasan itu.

Dalam kejadian semalam, buih berwarna putih seakan buih sabun itu melimpah dari Sungai Tranum yang menyalurkan air ke Sungai Bilut seterusnya ke Loji Rawatan Air Sungai Bilut.

Susulan kejadian itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam satu kenyataan memaklumkan bertindak menutup Loji Air Sungai Bilut sebagai langkah keselamatan bermula hari ini.

Penutupan loji itu sehingga tarikh yang ditetapkan kelak memberi kesan kepada 8,329 akaun pengguna di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Lee berkata, dia terkejut melihat buih yang banyak di sungai berkenaan.

Katanya, mereka tidak pasti punca buih berkenaan dan berasa bimbang ia disebabkan bahan kimia berbahaya.

“Kami tidak pasti apa sebab tetapi sehingga kini rumput di tepi sungai tidak mati dan tiada penduduk yang mengalami sakit dan sebagainya.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan saya difahamkan pihak berkuasa telah menjumpai satu tong di kawasan itu semalam,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Mohd. Sani Daud berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejak semalam dan sedang menyiasat punca buih berkenaan.

Katanya, pada masa ini pihaknya hampir mengenal pasti punca dan perlu melakukan beberapa ujian bagi mengesahkan laporan.

“Kita tambil tindakan segera dengan melakukan ujian dan mengambil sampel air berkenaan untuk ujian dan setakat ini bacaan air sungai berkenaan adalah pH 6.

“Kawasan berkenaan adalah jauh daripada kawasan perindustrian dan kita akan memaklumkan laporan selepas ujian dan siasatan selesai,” ujarnya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/kejadian-buih-besar-gemparkan-penduduk/