Budak tular hisap vape, suami isteri didakwa abai anak

Budak tular hisap vape, suami isteri didakwa abai anak

Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki mereka berusia lebih setahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga menjadi tular pada Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 23 dan 21 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa sebagai yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka berusia setahun sembilan bulan telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara memberinya menghisap vape yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves di sini pukul 1 pagi pada 2 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun mereka yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan rendah.

Hamim Nor Rajiah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali selain dilarang untuk tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes selesai.

Tarikh 16 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada Mei lalu Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang dipaksa menghisap rokok elektronik atau vape.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves dan telah dirakam oleh ibu mangsa.- K!ONLINE

COMMENTS