Budak lemas ketika mandi dengan pasangan kembar

Budak lemas ketika mandi dengan pasangan kembar

Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak termasuk pasangan kembar mandi di Sungai Kampung Kuala Temonyong, dekat Langkawi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika kejadian, Muhammad Alif Amin Cik Di yang berusia lapan tahun sedang mandi bersama abang kembarnya serta beberapa rakan mereka di lokasi tersebut.

Katanya polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.25 petang.

“Seorang pekerja tapak pembinaan jalan raya di lokasi tersebut terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Muhammad Alif namun mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata setakat ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/554991