Buat ‘wayang’ angkut lumpur, warganet sindir menteri

Buat ‘wayang’ angkut lumpur, warganet sindir menteri

Aksi Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Baling, Kedah, mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk sindiran.

Video berdurasi 25 saat itu dimuat naik pegawai khasnya, Mohd Zaidy Abdul Talib, di TikTok dengan kapsyen “(Tuan Ibrahim) membantu bersihkan lumpur di rumah mangsa banjir Baling di Kampung Iboi, ini contoh YB PAS yang boleh dijadikan teladan”.

Aksi ‘ringkas’ Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man melongokkan lumpur menggunakan kereta sorong mendapat pelbagai reaksi, termasuk sindiran pilihan raya umum semakin dekat dan pujian.

Setakat ini, video berkenaan mendapat komen hampir 1,400 pengguna TikTok, selain mendapat lebih 9,500 tanda suka.

Antara kritikan dilontarkan warganet termasuk mempersoalkan mengapa hanya Tuan Ibrahim yang melakukan kerja-kerja pembersihan berkenaan.

Seorang warganet, @AmirEhan, berkata “gotong royong.. tapi yang buat kerjanya sorang saja..menteri pula tu.. habis yang ramai-ramai kat situ tu buat apa”.

@Shaqil84 pula berkata, “Wayang, jangan tak buat kerja…hebat”.

Selain itu, ada juga komen yang mengatakan tindakan Tuan Ibrahim melakukan kerja pembersihan itu sebagai ‘tanda’ pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Tanda-tanda PRU dah dekat…,” kata @Seroja.

Seorang lagi warganet, @Abu, berkata “hasil dari acuan Umno berlakon gred A tengok pun rakyat dah boleh menilai tanda-tanda PRU dah dekat masa untuk tarik perhatian wayang sudaaaaaa”.

Bagaimanapun, terdapat juga komen memuji dan mempertahankan tindakan Tuan Ibrahim itu.

@IzuddinYusoff berkata, “Tidak kisah lah YB apa orang kata, saya tetap hormat YB. YB antara ahli politik yang terbaik. muahhh sikit”.

Seorang lagi, @popitbirusokmo berkata, “nak tanya sajalah, orang yang kecam-kecam lah kan, tak kan korang nak suruh dia share dia buat kerja cuci-cuci tu 24 jam situ. kan tak masuk opis, meeting lain lagi”.