Grand Coalition NGO – Mazlan

Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 Billion yang bertemakan, ‘teguh kita, menang bersama’ telah pun diluluskan di Parlimen.
Ia merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah.
Sepertimana yang diungkapkan oleh YB Menteri Kewangan, manfaat langsung dari belanjawan adalah untuk rakyat.
Persoalan yang selalu timbul, adakah belanjawan ini benar benar sampai kepada rakyat?
Bagaimana mekanisme diperingkat pelaksanaan khususnya agensi kerajaan yang berkaitan. Sejauh mana peranan institusi tertentu seperti MAMPU, INTAN, PEMANDU dan lain lain. Kita bercakap soal urus tadbir yang baik, kerenah birokrasi dan piagam pelanggan.
Di kebanyakan ucapan dalam berbagai program dan kenyataan resmi,di umum segala projek, peruntukan yang disalurkan dan insentif yang ditawarkan.
Kedengaran di sana sini, keluhan, rungutan dan aduan yang sampai pada tahap bahasa kesat(kekecewaan) akan dakwaan kegagalan mengagihkan peruntukan dan insentif yang di umumkan.
Meskipun kita memahami kekangan yang dihadapi penjawat awam, tetapi soal kecekapan dan komitmen dari KPI yang selalu diperingatkan telah menjadi persepsi negatif di sisi rakyat.
Dari Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju, kemudiannya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030; sejauh mana peratus kejayaannya?
Maka, keperluan mendesak bagi badan badan bukan kerajaan(NGO) menjadi kuasa ketiga yang kuat bagi mempastikan kepentingan rakyat dapat ditunaikan seperti dasar yang dijanjikan.
Untuk itu GRAND COALITION NGO harus diwujudkan. Suara yang padu dari gabungan Ngo2 yang besar mesti disatukan.
Keberkesanan dasar kerajaan wajar dipantau dari masa ke semasa. Perjalanan dan penambahbaikan Agensi kerajaan harus diperhati, dinilai dan disusuli dengan tindakan yang bersesuaian.
‘ Report Card ‘ menteri dan Kaji selidik kepuasan pelanggan mesti telus bukan bersifat syok sendiri bagi melindungi tokoh politik dan Ketua Jabatan yang lemah.
Moga tahun 2021 menjanjikan perubahan yang lebih baik demi kebahagian rakyat jelata.
Datuk Mazlan Aliman
Ngo Malaysia Baru
21 Dis 2020