BN beri laluan PH tanding di Padang Serai

BN beri laluan PH tanding di Padang Serai

Barisan Nasional (BN) bersetuju memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan, Sofee Razak bertanding di Parlimen Padang Serai.

Ketua BN Kedah, Jamil Khir Baharom berkata, dengan hubungan baharu yang dijalin di peringkat persekutuan, gabungan itu kini menyokong PH untuk memenangi kerusi itu.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi berhubung calon BN, C Sivaraj untuk menarik diri daripada pertandingan enam penjuru pda 7 Dis ini. Beliau belum mengulas keputusan itu secara rasmi.

Sofee yang berucap dalam ceramah sama berkata, bantuan BN akan membolehkan PH melawan PN secara langsung.

Sivaraj ialah calon kedua yang menarik diri, selepas Bakri Hashim daripada Warisan.

Spekulasi mengenai penarikan dirinya daripada pilihan raya Padang Serai turut didorong ceramah anjuran bersama BN dan PH pada malam semalam. Majlis kedua gabungan itu berkongsi pentas selepas julung kali diadakan di DUN Tioman, Pahang beberapa hari lalu.

Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan ke 7 Dis ini selepas calon PH, M Karupaiya meninggal dunia beberapa hari sebelum pilihan raya umum 19 Nov lalu.

Selain Sivaraj, Sofee dan Bakri, calon lain ialah Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang) dan Sreanandha Rao (bebas).

BN beri laluan PH tanding di Padang Serai