BN akan tolak Belanjawan

BN akan tolak Belanjawan

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata ahli parlimen BN konsisten menyokong Belanjawan 2021 jika dua permohonan utama gabungan itu diluluskan.

Jelasnya Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempunyai masa sehingga Khamis ini untuk mempertimbangan permohonan tersebut.

“(Belanjawan 2021) juga dibincangkan dan mengenai belanjawan tentunya kita masih lagi menyatakan bahawa kita menyokong belanjawan dan sokongan kita juga meminta agar dua permohonan utama akan diluluskan dan kita ada sehingga Khamis ini untuk pertimbangan menteri kewangan,” katanya.

Walaupun tidak menyebut dua permohonan utama BN itu, namun Ahmad Maslan dipercayai merujuk kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong BN Najib Razak sebelum ini.

Bekas perdana menteri telah berulang kali menegaskan, BN hanya akan menyokong belanjawan sekiranya terdapat lanjutan moratorium pinjaman dan kebenaran individu mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Difahamkan mesyuarat yang dijadual bermula jam 8 malam di ibu pejabat Umno di PWTC itu disertai presiden, ketua wanita dan ketua pemuda setiap parti komponen serta kepimpinan Dewan Tertinggi BN.

Selain itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) BN juga dikatakan menyertainya.

Mesyuarat BN sebelum ini menjadi perhatian kerana terdapat anggota parlimen Umno yang tidak berpuas hati dengan belanjawan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata anggota parlimen patut diberi kebebasan sama ada untuk menyokong, menolak atau berkecuali ketika undian nanti, berbeza dengan undian berdasarkan parti yang menjadi kelaziman.

Selain itu, mesyuarat malam ini juga berlangsung pada saat berlakunya ‘perselisihan’ dalam Umno apabila beberapa pemimpin parti menyerang Annuar Musa dalam soal hubungan antara parti itu dengan Bersatu.

Antaranya, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menempelak Setiausaha Agung BN Annuar Musa semalam, berkata akar umbi Umno sudah muak dengan MP Ketereh yang seolah telah menjadi seperti jurucakap Bersatu.

Berita Penuh:http://Malaysiakini