Biarlah Anak-Anak Itu Berada Di Majlis Ilmu

Biarlah Anak-Anak Itu Berada Di Majlis Ilmu

Mungkin ada antara kita yang mempunyai anak yang sudah mumayyiz namun tidak rasa penting untuk bawa mereka ke majlis ilmu atau mendengar perbahasan ilmu. Jangan begitu, ajak mereka hadiri majlis ilmu.

Biasakan mereka dengan mendengar kalam Allah dan Rasul.

Inilah budaya muhaddith zaman silam. Mereka sesekali tidak menghalau anak kecil menghadiri majlis ilmu selagi mana mereka tidak mengganggu majlis. Abdullah bin al-Mubarak apabila melihat anak-anak penuntut ilmu hadis membawa pena dan dakwat dia akan panggil mereka untuk duduk dekat sambil berkata:

“Inilah tanaman untuk agama”.

Dia berkata lagi:

“Mereka ini anak kecil kamu hari ini, namun tidak lama lagi mereka menjadi orang besar selepas kamu”. (Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Tahqiq Kitab al-Masnu’, hal. 118)
Amru bin al-As pernah berpesan kepada mereka yang duduk di dalam majlis ilmu:

ما لي أراكم نحيتم هؤلاء الغلمان عن مجلسكم، لا تفعلوا أوسعوا لهم وأدنوهم وأفهموهم الحديث فإنهم اليوم صغار قوم ويوشكوا أن يكونوا كبار آخرين قد كنا صغار قوم ثم أصبحنا كبار آخرين

Maksudnya: kenapa aku melihat kamu menjauhkan anak-anak dari majlis kamu? Jangan lakukan begitu, luaskan ruang untuk mereka, dekatkan mereka dan fahamkan mereka tentang hadis, mereka hari ini anak kecil bagi kaum, tidak lama lagi mereka menjadi orang besar bagi orang lain. Dulu kita juga anak kecil bagi kaum, kemudian kita menjadi orang besar bagi orang lain. (al-Baihaqi, al-Madkhal, hal. 371)

Moga-moga anak-anak kita terbiasa dengan majlis ilmu dan minat dengannya.

Dr Rozaimi Ramle

Sumber : https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle