BERSATU tiada kekuatan, hanya guna PAS untuk tekan UMNO

BERSATU tiada kekuatan, hanya guna PAS untuk tekan UMNO

UMNO perlu berpisah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, bagi mengekalkan kelangsungan politiknya.

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, berkata tindakan itu perlu bagi membolehkan UMNO mendapat jumlah kerusi yang banyak seperti sebelum ini, kerana ada beberapa kerusi sudah menjadi milik BERSATU.

“Secara logik, survival setiap parti adalah kerusi. Kalau kerusi sikit, maka parti kerusi besar akan buli dia. Tak kira sama ada parti apa sekalipun. Tiada yang akan hiraukan.

“Untuk membolehkan UMNO ada kerusi lebih, mereka perlu mengasingkan diri daripada Perikatan Nasional (PN) kerana sebahagian kerusi yang UMNO menang (sebelum ini), sudah menjadi kerusi BERSATU.

“Kalau kerjasama kekal antara UMNO dan BERSATU, secara automatik kerusi UMNO untuk ditandingi sudah sikit, daripada yang dia menang dulu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Husam berkata, perpisahan UMNO daripada BESATU perlu diambil kerana BERSATU memberi layanan kelas dua terhadap UMNO, berbanding PAS sepanjang kerjasama mereka dalam PN.

Katanya, BERSATU parti yang tiada kekuatan dan hanya memperguna PAS serta UMNO, malah PAS hanya dijadikan alat untuk menekan UMNO.

Beliau berkata, UMNO memiliki potensi untuk menang dalam PRU-15 dan mampu menjadi kerajaan semula.

“UMNO sebagai badan politik kena berfikir ‘survival’ dia, iaitu kerusi yang lebih dengan cara berpisah daripada BERSATU dan menentang parti itu dalam PRU akan datang, untuk dapat peruntukan kuota kerusi yang lebih. Peluang menang lebih banyak. Apa akan jadi masa itu kita tak tahu.

“Tapi secara logik, UMNO kena memisahkan diri daripada BERSATU dan kebetulan pula BERSATU layan UMNO kelas dua, berbanding dia layan PAS. Ini memberi ruang kepada UMNO memainkan sentimen untuk menentang BERSATU. Cuma masanya bila?” katanya. | BH