Bersatu guna ROS ugut PM, UMNO – Nur Jazlan

Bersatu guna ROS ugut PM, UMNO – Nur Jazlan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai senjata politik bukan sahaja untuk mengenakan UMNO, malah juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu kerana sudah lebih dua bulan UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi meminda perlembagaan parti terbesar Melayu itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed
Katanya, pindaan tersebut yang diluluskan dengan sebulat suara oleh perwakilan parti antara lain untuk membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), namun, hingga kini ROS masih tak dapat membuat keputusan sama ada ia disahkan atau tidak.
“Susah sangat ke ROS nak buat keputusan atau ROS sudah jadi cagaran politik oleh menteri-menteri Bersatu? Saya bekas Timbalan Menteri KDN, jadi, saya tahu bidang kuasa dan peraturan dalam ROS. Kalau satu pertubuhan buat mesyuarat, buat pindaan dan semuanya mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Akta Pertubuhan, ROS tak ada hak untuk tidak memberi kelulusan atau mengesahkan minit mesyuarat itu.
“Begitu juga dalam kes PAU Khas UMNO itu, semuanya dijalankan mengikut lunas undang-undang, keputusan pindaan juga diputuskan sebulat suara oleh perwakilan dan selepas PAU Khas selesai tiada bantahan oleh ahli atau perwakilan UMNO. Jadi, kenapa ROS lambat hendak buat keputusan,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mendakwa perkara itu terjadi kerana permainan oleh mana-mana parti politik, namun, secara tidak tindakan itu memberi tekanan kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO yang turut menyokong keputusan pindaan perlembagaan parti itu.
“Mungkin pemimpin dan Menteri Bersatu cuba mengatur permainan politik dan membuatkan Perdana Menteri serba salah. Malah, menteri-menteri UMNO dalam kerajaan pun menyokong pindaan Perlembagaan ini sebab kalau mereka tak sokong nanti ahli-ahli akar umbi akan hukum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pemilihan parti akan datang.
“Mereka perlakukan parti Perdana Menteri sedemikian rupa. Mereka cuba calarkan imej beliau dan UMNO. Mereka cuba menangguk di air keruh dan gunakan ROS sebagai senjata politik untuk ugut Perdana Menteri dan parti dia (UMNO).
“Tetapi, hakikatnya Bersatu ini takut untuk berdepan PRU kerana mereka tahu rakyat akan terus tolak parti mereka dan juga Perikatan Nasional seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” katanya.
Nur Jazlan turut mendakwa bahawa perkara itu juga mungkin permainan sesetengah menteri Bersatu untuk lompat parti selepas PRU15.
“Saya pun ada dengar cerita, sudah ada beberapa orang dari parti bunga (Bersatu) dah ‘standby’ nak melompat. Bagi saya ini satu lagi muslihat atau ugutan politik yang cuba dimainkan oleh Bersatu kepada kepimpinan Perdana Menteri dan UMNO.
“Sebab kita pun sudah lama tahu Bersatu ini suka dengan budaya politik ugutan dalam usaha mereka nak kawal kerajaan PN. Kalau budaya ini berterusan, saya rasa eloklah dibubarkan saja Parlimen. Kita buat PRU dan kembalikan mandat untuk pilih kerajaan kepada rakyat. Habis cerita,” katanya.