Anwar lepaskan jawatan Ketua Pembangkang tidak benar – Khalid

Anwar lepaskan jawatan Ketua Pembangkang tidak benar – Khalid

Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan dakwaan partinya menunggu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janji tujuh hari seperti yang dilaporkan sebuah portal berita pada Rabu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata laporan portal tersebut jelas berniat untuk melaga-lagakan partinya dengan Anwar.

“Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah baru-baru ini hanya memutuskan Amanah menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu.

“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan Amanah memberikan kata dua (ultimatum) kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya Amanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini portal The Malaysian Insight melaporkan Amanah bersetuju memberi peluang kepada Anwar mengotakan janji melepaskan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan dan Ketua

Pembangkang selepas gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh tujuh hari selepas pembentangan Belanjawan 2021.

Laporan memetik sumber yang tidak didedahkan itu menjelaskan persetujuan dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pimpinan nasional parti pada Ahad malam.

Sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/amanah-nafi-tunggu-anwar-kotakan-janji-7-hari-271205