“Berderau darah…” ‘Sudah tiga kemalangan maut depan rumah saya’

“Berderau darah…” ‘Sudah tiga kemalangan maut depan rumah saya’.
Kemalangan maut sehingga mengorbankan nyawa pasangan suami isteri di Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini Isnin lalu bukanlah yang pertama berlaku di lokasi berkenaan.
Pemilik rumah yang turut terlibat dengan nahas itu, Nazira Saidin, 40, berkata, sudah empat kali kemalangan berlaku di hadapan rumahnya termasuk tiga kejadian meragut nyawa.

RAHMAT Adom menunjukkan keretakan dinding rumah Nazira Saidin kesan daripada rempuhan kereta Perodua Myvi yang terbabas di tepi jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka, Isnin lalu.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada awal 2000 melibatkan pelajar sekolah manakala kejadian kedua membabitkan seorang lelaki yang terbabas setelah mendakwa ada ‘sesuatu’ melintas.
“Berderau darah dan menggigil badan apabila melihat tangan mangsa kemalangan maut yang terlindung di sebalik kereta,” katanya.
Tambahnya, ketika kejadian, dia sedang berada di dapur untuk membasuh baju sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman seperti letupan dan seretan yang kuat.
“Hati saya dah tak sedap ketika itu dan yakin ada kemalangan yang berlaku berhampiran rumah. Saya minta anak tengok keadaan di luar dan dia beritahu zink tercabut.
“Setelah melihat sendiri, saya terkejut kerana rumah saya yang dirempuh kereta. Masa itu orang sudah ramai, tapi belum mengetahui ada mangsa yang maut.
“Saya lihat seorang pak cik cedera kerana motosikalnya meletup berhampiran masjid dan kemudian baru ternampak tangan mangsa yang maut terlindung di belakang kereta. Terus berderau darah dan menggigil, tak fikir rumah dah masa itu,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulai, Rahmat Adom berkata, pembinaan bonggol jalan dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk memperlahankan kenderaan yang sering menggunakan jalan tersebut.
Beliau berkata, cadangan pembinaan bonggol jalan itu wajar dipertimbangkan pihak berwajib memandangkan terdapat banyak aktiviti awam di sepanjang jalan berkenaan seperti sekolah, masjid dan gerai makan.
Jelasnya, saban hari semakin banyak kenderaan melalui jalan berkenaan kerana lokasi sekitarnya mula membangun dan menjadi tumpuan pelancong seperti Pantai Siring dan Pengkalan Tanjung Batu.
“Aliran trafik yang meningkat ini disebabkan orang luar masuk ke kampung dan kebanyakan mereka dilihat gemar memandu laju di jalan lurus. Walaupun ada beberapa tempat diletakkan garisan kuning, namun ia masih belum cukup untuk memperlahankan kenderaan.
“Pembinaan bonggol jalan lebih munasabah. Selain itu, tempatkan juga papan tanda had laju yang besar agar orang ramai peka untuk mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.