Berang kehilangan wang pertaruhan lumba kuda, lelaki tolak wanita hingga terjatuh ke landasan kereta api

Berang kehilangan wang pertaruhan lumba kuda, lelaki tolak wanita hingga terjatuh ke landasan kereta api

Seorang kaki judi ditahan polis selepas dia menolak seorang wanita hingga terjatuh ke landasan kereta api kerana berang kehilangan wang dalam pertaruhan lumba kuda, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Mangsa ketika itu sedang menunggu kereta api tiba di stesen Tai Hing Utara, Hong Kong sebelum dia ditolak dalam serangan rambang.

Bagaimanapun, mangsa sempat menyelamatkan diri dengan naik semula ke atas platform. “Ketika kejadian, tiada kereta api yang tiba atau meninggalkan stesen tersebut,”, kata Ketua Inspektor, Lee Ying-Chi dalam satu sidang akhbar.

Wanita itu dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian leher dan lengannya.

Menurut Ying-Chi seperti yang dilaporkan laman berita Coconuts, dia dihantar ke Hospital Tuen Mun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Suspek yang merupakan seorang pekerja syarikat pengangkutan berusia 33 tahun, mempunyai nama keluarga Yau, demikian menurut polis.

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta sama ada pernah berhubung dengan mangsa sebelum ini.

Suspek dikesan menggunakan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) ketika menaiki kereta api di Stesen Ping Shan kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) sebelum ditahan di stesen berlainan

Kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh suami mangsa. – Agensi