‘Beli-belah’ ahli politik, kekalkan kuasa

‘Beli-belah’ ahli politik, kekalkan kuasa

Terdapat beberapa pihak yang kini sedang ‘membeli-belah’ ahli politik bagi tujuan mempertahankan kuasa menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Meskipun tidak dinyatakan secara jelas, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang mereka adalah kerajaan baharu yang akan menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tetapi, perkara itu tidak berlaku kerana jelas Ahmad Zahid, UMNO dan BN cuba dihapuskan secara total oleh pihak terbabit selepas kalah pada PRU ke-14.

“Saya masih ingat cerita tentang ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO BN ketika itu. Mula-mula mereka memburuk-burukkan para pemimpin UMNO BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

“Kemudian penceramah mula ‘bersajak’ memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan UMNO, sebaliknya mahu menyelamatkan UMNO BN. Berpidato kononnya jika mereka menang, parti UMNO BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu.

“Saya dimaklumkan, ucapan-ucapan yang penuh dengan kepura-puraan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin. Hakikatnya selepas tewas, UMNO BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka. Mujur sebahagian pemimpin UMNO BN yang telah diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah,” katanya.

Mengakui UMNO pernah terperangkap dengan helah dan tipu daya pihak lawan sehingga sanggup menumbangkan parti sendiri, tegas Ahmad Zahid, kesemua ahli parti perlu bangkit dan mengukuhkan kedudukan parti untuk kembali menjadi pemerintah yang adil kepada semua pihak.

“Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan. Pengalaman sepatutnya mematangkan. Kita kembali bertaut. Negara perlu diperkasakan semula sebelum terlewat. Kemakmuran hidup rakyat perlu diperteguhkan sebelum bertambah parah.

“Selepas lebih tiga tahun berlalu, kini kita mempelajari apakah maknanya apabila UMNO BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara. Kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan, amalan demokrasi tidak perlu diungkap satu persatu.

“Akan tetapi saya percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak kita pada PRU-14 juga telah menyedari natijahnya walau masih ada segan dan silu,” jelasnya. | UM