Belanjawan Johor 2021 : Usul pengecualian harta bagi rumah kos rendah ditolak amat dikesali

Belanjawan Johor 2021 : Usul pengecualian harta bagi rumah kos rendah ditolak amat dikesali

Pakatan Harapan Johor berkata gabungan itu telah bertemu Menteri besar Johor, Hasni Mohammad sebelum ini bagi membincangkan beberapa perkara itu untuk memperkasakan demokrasi di negeri itu.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, PH Johor berkata pertemuan bersama Hasni itu diketuai Ketua Pembangkang Johor, Aminohuda Hassan.

Turut dibincangkan ialah peruntukan sama rata kepada semua Adun termasuk pembangkang, Jawatankuasa Pilihan Dewan dan penyertaan semua ADUN dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Daerah (JTPD).

“MB telah memberi respon. Seperti dimaklumkan menerusi ucapan belanjawan 2021, sejumlah RM150,000 telah diperuntukkan untuk Adun-Adun pembangkang dan ditambah RM50,000 secara one-off menerusi ucapan penggulungannya.

“Berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan dan penyertaan Adun-Adun pembangkang dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Daerah, MB telah menyatakan tiada halangan tetapi perlu diangkat ke peringkat seterusnya untuk proses lanjut.

“Ini adalah sejarah dalam demokrasi Johor,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Aminolhuda selaku pengerusi Amanah Johor, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah dan Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin.

Terdahulu, Hasni hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua Adun termasuk Adun pembangkang dalam usaha menangani Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,000 diberikan kepada Adun pembangkang selepas peruntukan sebanyak RM50,000 kepada mereka dinaikkan kepada RM150,000 bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat ketika Umno dikatakan mempertimbangkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak, selepas menteri besar dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu digulingkan.

Faizal baru-baru ini gagal mendapat sokongan undi percaya yang dikemukakan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri.

Terdapat kebimbangan bahawa Bersatu akan membawa usul ‘balas dendam’ pada sidang Dewan Undangan Negeri Johor.

Mengulas lanjut, PH Johor berkata negeri itu menjadi contoh terbaik bagaimana DUN memainkan peranan berkesan dengan meletakkan kepentingan rakyat tanpa mengira politik kepartian.

“Lebih menarik, kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang turut merupakan Adun Gambir tidak bertindak sepertimana kerajaan Johor dalam hal ehwal pengukuhan institusi demokrasi yang inklusif,” katanya.

Walaupun begitu, PH Johor kesal apabila usul dibawa Adun Pekan Nenas agar kerajaan memberikan pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah kepada rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19 tewas menerusi undi belah bahagi.