Belanjawan 2021: Longgarkan sedikit PKPB dan sempadan negara – Anwar Ibrahim

Belanjawan 2021: Longgarkan sedikit PKPB dan sempadan negara – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk melonggarkan sedikit sekatan di pintu antarabangsa, terutamanya dalam tempoh masa kuarantin, dalam usaha menggalakkan pelabur dan pelancong masuk ke negara ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada negara-negara yang sudah pun menguatkuasa peraturan untuk melakukan saringan COVID-19, dan tempoh kuarantin sepuluh hari ke dua minggu, sebelum dibenarkan meninggalkan negara tersebut.

Ujarnya lagi, apabila pelancong atau pelabur berkenaan datang ke negara ini, mereka perlu melakukan hanya sekali lagi ujian, dan tempoh kuarantin mungkin lebih pendek.

“Sekarang ikut standard format 12 hari, siapa nak datang? Mengenai pelancongan, misalnya, saya ada berbincang dengan wakil dari negara Arab. Ada yang mengatakan mereka boleh melakukan ujian saringan COVID-19 dalam masa 12 hari.

“Jadi pelancong atau pelabur itu datang ke sini, buat lagi. Dah dua kali ujian saringan, dan benarkan mereka masuk ke sini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan mungkin boleh melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara terpilih, agar tidak terlalu ketat sehingga tidak membenarkan sektor pelancongan dan pelaburan tidak boleh bernafas.

Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Titiwangsa) ketika bangkit mencelah, memohon pandangan Anwar mengenai pelaksanaan PKPB di hampir seluruh negara, walaupun ada negeri yang tidak perlu dikenakan arahan tersebut.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata, lebih elok sekiranya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang lebih memberi tumpuan kepada lokaliti sesuatu kawasan yang terjejas dengan COVID-19.

“Ya setuju. Itu yang saya tekankan. Tujuh kes (baharu) satu negeri terus PKPB. Sedangkan yang nak ditekankan hanya satu kawasan. Dan enforcement (penguatkuasaan) keras tak apa. Kita tidak pernah pertikai pasukan keselataman dalam mengawal.

“Data juga mesti terbuka…mesti ada ketelusan. Kita tahu ada tujuh kes di Petaling Jaya tetapi di mana? Dan kebenarannya? Bila ada open data dan maklumat telus, orang lebih yakin. Sekarang ramai mula pertikai. Apa ni? Mengapa berlarutan untuk sedikit saja terus kena PKPB?” soalnya kembali.

Anwar berkata, meskipun beliau memahami ia berkenaan soal keselamatan dan kesihatan, namun katanya jangan sampai rakyat mula tertanya-tanya dan mempertikaikan kesahihan.

“Lagi lemah kerajaan lagi banyak PKPB, nak darurat terus. Tak boleh darurat terus nak PKPB. Kalau betul ada masalah, orang akan teliti dan terima,” katanya lagi.

Sumber Berita : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-longgarkan-sedikit-pkpb-dan-sempadan-negara-anwar-ibrahim-267635