Bekas pegawai khas MB Johor didakwa palsu slip gaji RM15,000

Bekas pegawai khas MB Johor didakwa palsu slip gaji RM15,000

Seorang bekas pegawai khas kepada menteri besar Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan slip gaji untuk tujuan menipu, empat tahun lalu.

Khairul Anuar Daud, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia dituduh memalsukan slip gaji di syarikat FlyFirefly Sdn Bhd untuk bulan Mei 2018 miliknya berjumlah RM15,820.63 dengan niat menggunakan dokumen palsu berkenaan untuk menipu.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, JCorp Operations di Menara Komtar, antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika didapati bersalah.

Dia diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dayang Masneh Deh, manakala peguam Hazza Khalid mewakili tertuduh.