Bayar kompaun RM1,500 langgar PKP selepas seronok mandi pantai

Bayar kompaun RM1,500 langgar PKP selepas seronok mandi pantai

BUTTERWORTH: Seramai lima individu terpaksa ‘membayar harga mahal’ untuk mandi-manda di Pantai Bersih, di sini selepas dikompaun RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati kumpulan terbabit berkumpul semasa melakukan aktiviti riadah tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.

Malah, ujar beliau, kumpulan berkenaan juga didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Kelima-lima individu berkenaan termasuk dua wanita dikompaun keseluruhan berjumlah RM7,500,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, seramai 38 individu di sekitar daerah SPU semalam dikenakan tindakan kerana melanggar SOP PKP dengan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM65,000.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah merentas negeri tanpa kebenaran, tidak mendaftar di aplikasi MySejahtera dan berkumpul beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

“Mereka dikompaun di antara RM1,500 hingga RM5,000 seorang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS