Banjir Kilat : 281 dipindahkan

Banjir Kilat : 281 dipindahkan

Kulim: Seramai 281 mangsa dari 61 keluarga di lima mukim di daerah ini terjejas berikutan rumah mereka ditenggelami banjir kilat sejak petang semalam.

Setakat ini, hanya tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk memindahkan mangsa yang terjejas.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, antara mukim terbabit adalah di Sungai Ular, Lunas, Padang Meiha, Padang Cina, Sungai Seluang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mulai 5.40 petang semalam dan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim tiba di lokasi pada 5.55 petang.

“Mukim Sungai Ular membabitkan penduduk dari Kampung Paya, dengan 105 mangsa dari 21 rumah namun tiada pemindahan dilakukan.

“Selain itu, seramai 106 mangsa membabitkan 32 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Sungai Seluang Bawah, Kampung Bukit Sarang Ayam dan Kampung Paya Serdang dipindahkan ke Masjid Sungai Seluang yang dijadikan sebagai PPS berikutan paras air yang meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadhil berkata, penduduk di Lunas membabitkan dua kawasan iaitu di Taman Sang Kancil dan Kampung Sungai Limau, di sini.

Beliau berkata, penduduk di dua kawasan itu dipindahkan surau Taman Sang Kancil yang membabitkan 103 mangsa dari 28 rumah.

“Sementara penduduk di Kampung Sungai Limau membabitkan 52 mangsa dari 17 rumah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Fadhil berkata, penduduk di dua mukim iaitu Padang Meiha dan Padang Cina tidak dipindahkan setakat ini.

Beliau berkata, penduduk yang dipindahkan ke PPS berikutan paras air meningkat sehingga paras dua meter.

“Hujan lebat lebih satu jam mulai 2 petang menyebabkan air di kawasan bukit melimpah ke kawasan yang rendah.

“Anggota kami membuat pemantauan banjir di kawasan berkenaan dan membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS,” katanya.

Katanya, antara agensi yang terbabit termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/647263/281-dipindah-ke-pps-akibat-banjir-kilat