Bandar di Argentina diancam ‘puting beliung’ nyamuk

Bandar di Argentina diancam ‘puting beliung’ nyamuk

Seorang lelaki terkejut menyaksikan begitu banyak nyamuk terbang serentak dan membentuk formasi menyerupai puting beliung di ruang udara, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Klip video dirakam kelmarin di lebuh raya Laluan 74 antara Jeneral Madariaga dan Pinamar di Argentina menunjukkan ‘pu­ting beliung’ nyamuk itu menjulang tinggi di langit tidak jauh dari lokasi tersebut.

“‘Semakin lama ia semakin besar. Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini berlaku,” tulis lelaki itu di media sosial.

Fenomena formasi seperti puting beliung itu berlaku selepas penduduk Buenos Aires dilaporkan berdepan serangan nyamuk besar-besaran.

Penyelidik di Pusat Parasitologi dan Kajian Vektor (CEPAVE), Juan Jose Garcia berkata, hujan lebat membawa banjir telah meninggalkan banyak kolam air bertakung di mana nyamuk-nya­muk betina bertelur.

“Situasi ini mengakibatkan kemunculan ‘sejumlah besar’ serangga itu yang ‘menyerang bandar’.

“Walaupun jumlah nyamuk meningkat mendadak, serangga itu tidak menimbulkan ancaman kepada manusia tetapi berpotensi mengganggu aktiviti pertanian,” katanya kepada media tempatan.

Justeru, Garcia meminta penduduk untuk terus bertenang dan menunggu situasi tersebut reda dalam tempoh 15 hari akan datang.

Namun begitu, sudah ramai penduduk tempatan meminta pihak berwajib melakukan sesuatu bagi menghalau nyamuk-nya­muk di kawasan tersebut.

Pentadbiran bandar Pinamar memberitahu, teknik pengasapan atau ‘fogging’ tidak akan memberi kesan kerana hanya berupaya membunuh sebilangan kecil daripada nyamuk yang ada.

“Pengasapan juga membawa risiko bahan kimia meracuni rantaian makanan yang akan memberi kesan buruk terhadap pemangsa semula jadi serangga.”

“Oleh kerana itu, pihak perbandaran mengatakan bahawa tindakan pengasapan hanya akan diambil untuk kes-kes yang melampau di mana terdapat ancaman nyata terhadap kesihatan masyarakat umum,” kata jurucakap itu. | K!O