‘Balun’ peniaga, 2 pengasas produk kosmetik dicekup

‘Balun’ peniaga, 2 pengasas produk kosmetik dicekup

Polis menahan dua wanita yang merupakan pengasas produk kosmetik selepas dipercayai menyerang dan memukul seorang peniaga di sebuah premis perniagaan di Jalan Padang Garong di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kedua-dua suspek bersama seorang lagi wanita dan tiga lelaki disyaki telah menyebabkan kecederaan seorang wanita yang berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, keenam-enam suspek datang ke premis berkenaan dengan menaiki dua buah kereta sebelum bertindak menyerang dan memukul mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud

Menurutnya, bapa mangsa yang berada di lokasi kejadian cuba melindungi anaknya, namun turut dimaki hamun dan dipukul suspek.

“Berdasarkan keterangan saksi dan beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), polis, berjaya menahan tiga wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun dan tiga lagi lelaki berusia 21 hingga 45 tahun disyaki terlibat dalam kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek merupakan peniaga produk kecantikan dengan salah seorang lelaki mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut Mohd. Rosdi, tiga suspek wanita telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan hari ini manakala tiga lagi suspek lelaki masih direman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan cedera.