Balun anak perempuan 8 tahun dengan kabel, bapa dipenjara 3 tahun

Balun anak perempuan 8 tahun dengan kabel, bapa dipenjara 3 tahun

Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, menjatuhi hukuman tiga tahun terhadap seorang bapa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera anak perempuan berusia lapan tahun, akhir bulan lalu.

Wan Azlan Wan Ali, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh didakwa menganiaya anak perempuan kandung dengan memukulnya menggunakan sebatang kabel sehingga mendapat kecederaan.

Kejadian dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh jam satu pagi pada 28 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh memukul mangsa yang juga anak bongsu menggunakan sebatang kabel di seluruh badan, disebabkan telefon bimbit milik tertuduh mengalami masalah teknikal.

Mangsa bersama adik-beradiknya bertindak melarikan diri daripada rumah ketika bapa mereka sedang tidur, bagi mendapatkan kakak mereka yang belajar di sebuah kolej.

Kakak mangsa melihat kecederaan adiknya kemudiannya tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan jam 5.20 pagi di rumahnya sehari selepas kejadian.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh yang sepatutnya melindungi anak-anak.

Tertuduh pula memohon hukuman dikurangkan memandangkan beliau sudah insaf dan tidak akan mengulanginya.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara selama tiga tahun.

Sumber | MK