Bakar kereta sebelum buat laporan palsu

KLANG – Gara-gara tertekan membayar sendirian ansuran bulanan kereta jenis LMG sejak empat tahun lalu mengakibatkan seorang kontraktor bertindak membakar kenderaan tersebut di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Belimbing, Kuala Selangor dekat sini, Isnin lalu.

Suspek lelaki berusia 53 tahun itu kemudiannya membuat laporan polis mengenai kehilangan keretanya disyaki dicuri di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, tembelang suspek terbongkar selepas polis membuat siasatan lanjut berhubung laporan dilakukan lelaki tersebut pada pukul 9 pagi, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mengaku membakar kereta yang dibelinya sejak empat tahun lalu susulan terpaksa menanggung sendirian ansuran bayaran berjumlah RM569 tanpa mendapat bantuan daripada rakan kongsi perniagaannya.

“Suspek dan rakannya sebelum ini membuat perniagaan sub-kontraktor membaiki jalan dan rumah.

“Namun, disebabkan tidak berpuas hati dengan rakan kongsi perniagaannya yang gagal membantu pembayaran ansuran bulanan membuatkan suspek membakar kereta berkenaan Isnin lalu sebelum laporan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau menambah, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu bagi menuntut insuran terhadap kereta tersebut.

Ujar Nurulhuda, kes tersebut dianggap selesai berikutan penemuan kereta berkenaan selepas lelaki itu menunjukkan lokasi pembakaran kenderaan tersebut.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu dalam masa terdekat,” jelasnya. -K! ONLINE