Baca alasan penghakiman dulu sebelum serang sistem kehakiman, kata Tengku Maimun

Masyarakat awam dan ahli politik digesa membaca dan memahami alasan penghakiman bagi sesuatu kes yang diputuskan mahkamah terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan dan menyerang sistem kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau berkata, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutama selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, adalah berdasarkan sentimen semata-mata.
Tegas Tengku Maimun lagi, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan tidak relevan.
“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.
“Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.
“Keseluruhannya bolehlah dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa berdasarkan kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur, hari ini
Tengku Maimun diminta mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Sebelum ini, Majlis Peguam mengutuk tindakan berniat jahat, tidak wajar serta berbentuk ancaman yang dilemparkan terhadap badan kehakiman dan Tengku Maimun serta menyifatkan serangan itu berbaur sentimen anti kehakiman dan tidak adil kepada badan kehakiman negara.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani pula sebelum ini mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.
Tanya pakar
Ditanya saranan kepada ahli politik dan masyarakat, Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya kepada pakar sebelum membuat kesimpulan.
Katanya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.
“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.
“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.
“Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya, yang menghargai sokongan Majlis Peguam dalam memperbetulkan persepsi dan menjelaskan mengapa mahkamah membuat sesuatu keputusan.
Ketika membacakan alasan penghakiman setebal 15 muka surat pada 23 Ogos lalu, Tengku Maimun antara lain memaklumkan mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Tengku Maimun ketika itu berkata, pembelaan perayu tidak konsisten dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Nazlan sudah melakukan analisis yang mendalam terhadap bukti dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan tidak pernah benar-benar mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atas Najib, dalam akaun bank peribadinya ketika kes itu dibicarakan.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu hanya mencabar elemen mens rea (niat jahat) bagi semua tujuh kesalahan dikenakan ke atasnya dengan menafikan mengetahui dana itu daripada SRC.