Azmin yakin PN akan jadi kerajaan selepas PRU15

Azmin yakin PN akan jadi kerajaan selepas PRU15

Azmin Ali (Bersatu-Gombak) hari ini berkata bahawa dia yakin bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kerajaan seterusnya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keputusan kerajaan untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Lim ingin tahu bagaimana CPTPP boleh dilaksanakan jika Dewan Rakyat dibubarkan dalam tempoh terdekat ini, memandangkan ia perlu mendapat mandat oleh kerajaan baharu.

“Beliau bimbang bagaimana ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya yang akan datang.

“Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya ini adalah kerajaan Perikatan Nasional. Jadi, kita akan teruskan usaha-usaha ini,” katanya sambil disambut gelak ketawa di seluruh Dewan Rakyat.

Susulan itu, Azmin menggesa agar parlimen tidak dibubarkan sekarang, kerana lebih banyak masa diperlukan untuk pemulihan ekonomi.

“Walaupun indikator ekonomi semakin baik, kita perlu sedikit masa supaya proses pemulihan ekonomi ini benar-benar memberikan kesan positif kepada rakyat.

“Tetapi sekalipun pilihan raya berlaku dan parlimen dibubarkan, perjanjian ini (CPTPP) akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Mana-mana kerajaan yang mengambil alih, mereka bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan semalam bahawa kabinet telah bersetuju untuk meratifikasi CPTPP.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas yang menghubungkan Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu menyaksikan 95 peratus tarif antara 11 ahlinya akan dihapuskan.

Azmin menambah, Malaysia telah memenuhi kewajipannya dalam perjanjian itu dengan meminda 11 undang-undang.

Sementara itu, Bernama memetik Azmin sebagai berkata, CPTPP bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini.

Malaysia, katanya, telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 Sept 2022.