Azmin beri amaran, sedia bangkit, tidak akan ‘terbaring, menjilat luka’

Azmin beri amaran, sedia bangkit, tidak akan ‘terbaring, menjilat luka’

Azmin beri amaran, sedia bangkit, tidak akan ‘terbaring, menjilat luka’. Dua penganalisis tidak menjangkakan karier politik Azmin Ali surut selepas beliau tewas di Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Beliau pasti akan cuba bangkit semula pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor tahun depan, menurut penganalisis.

ADUN Bersatu Bukit Antarabangsa itu akan menggunakan pengalamannya sebagai bekas menteri besar untuk cuba membuat kebangkitan dengan menjadi “poster boy” Perikatan Nasional (PN).

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa kekalahan Azmin di kerusi Parlimen Gombak menjadikannya seperti “harimau terluka”.

Katanya, Azmin tidak akan hanya “terbaring, menjilat luka”.

“PRN Selangor tidak lama lagi. Beliau pasti akan menggunakan pengalaman luasnya sebagai MB dan pengaruh kuat PN semasa untuk memenangi Selangor dan menerajuinya semula.

“Lebih baik PH berwaspada kerana Azmin tahu semua kekuatan dan kelemahan gabungan itu di Selangor,” katanya kepada FMT.

Azmin menjadi menteri besar dari September 2014 hingga Jun 2018 sebelum dilantik sebagai menteri dalam Jemaah Menteri PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

Awang Azman berkata, kerjasama Bersatu-PAS dijangka memberi impak besar kepada landskap politik Selangor.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, Azmin akan melakukan yang terbaik untuk menebus kekalahannya di Gombak apabila beliau sekarang boleh memberi tumpuan kepada hal ehwal Selangor.

“Sebagai bekas MB, Azmin akan mengetuai PN dalam peranannya sebagai pemantau kepada pentadbiran negeri PH diterajui Amirudin Shari, yang pernah menjadi anak didiknya,” katanya kepada FMT.

“Ini adalah sebahagian daripada semak dan imbang sistem demokrasi yang berfungsi.

“Beliau akan menggunakan pengaruhnya dan PN untuk bangkit, tetapi tidak semestinya dapat mengalahkan PH.”

Fauzi berkata, PN mungkin akan berjaya di kawasan luar bandar Selangor tetapi tidak semestinya di seluruh negeri.

Ini yang berlaku minggu lepas di Pulau Pinang, katanya, di mana PN mengalahkan Barisan Nasional (BN) di kubu kuat majoriti Melayunya di utara Seberang Perai.

“PH sepatutnya menganggap ini sebagai satu cabaran, bukan ancaman,” katanya.

“Walaupun telah mengemudi Selangor sejak 2008, ia mesti sentiasa berjaga-jaga.

“Poster boy atau tidak, Azmin dan PN harus berusaha untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab di DUN jika mereka tidak memenangi kuasa.”

Minggu lepas, Azmin, antara individu di belakang Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan persekutuan 22 bulan PH, dihukum oleh pengundi Gombak kerana meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu.

Beliau tewas kepada Amirudin, yang memperoleh 72,267 undi untuk menang dengan majoriti 12,729 undi.

Azmin beri amaran, sedia bangkit, tidak akan 'terbaring, menjilat luka'