Azlina tegaskan Peguam Negara perlu hadir ke Parlimen, jawab pertanyaan Ordinan Darurat

Azlina tegaskan Peguam Negara perlu hadir ke Parlimen, jawab pertanyaan Ordinan Darurat

Peguam Negara mesti hadir dalam mesyuarat Parlimen minggu depan untuk menjawab pertanyaan mengenai undang-undang darurat, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

Katanya, ini akan menjelaskan segala keraguan mengenai kemungkinan wujudnya konflik kepentingan berhubung tingkah laku Idrus Harun selain sebagai justifikasi rasional Ordinan Darurat dirangka oleh pejabatnya.

Dalam kenyataan, beliau berkata, selain kewajipan berpelembagaan Peguam Negara menjadi ketua penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan Jemaah Menteri, beliau juga patut menasihati kedua-dua dewan Parlimen.

Walaupun tidak tertakluk dalam undang-undang bahawa Peguam Negara perlu bercakap dalam Parlimen, beliau patut dibenarkan menjawab sendiri soalan, bukan melalui “pihak ketiga”, merujuk kepada menteri yang memegang portfolio undang-undang.

Katanya lagi, untuk memastikan Peguam Negara bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, penyandang jawatan berkenaan selepas ini hendaklah dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen, iaitu langkah yg sebelum ini dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein.

Peguam Negara perlu menghadiri semua mesyuarat Jemaah Menteri, bukan hanya apabila diperlukan seperti sekarang, katanya.

“Timbul kebimbangan Peguam Negara dikuasai politik memandangkan penggal perkhidmatannya bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri dan atas sebab ini, mana-mana kerajaan pada masa hadapan perlu mempertimbangkan untuk mengagihkan kuasa pendakwaan Peguam Negara yang dikuasai politik kepada Peguamcara Negara, yang bebas dan memiliki kepakaran dalam pendakwaan,” katanya.

Azalina berkata, sebuah tribunal harus ditubuhkan untuk memastikan “keselamatan” jawatan Peguam Negara sepanjang penggal perkhidmatannya seperti yang diperuntukkan sebelum 1963.

Beliau juga menggesa agar Akta Khidmat Parlimen diperkenalkan agar Parlimen kekal menjadi institusi yang bebas dan mempunyai autonomi tanpa mengira kerajaan mana yang berkuasa.

Azalina turut mencadangkan penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas dan pembiayaan diperuntukkan kepadanya. Ia patut dianggotai oleh 88 Ahli Parlimen yang buat masa ini belum menganggotai mana-mana jawatankuasa.

Katanya, beliau membuat kenyataan terbuka hari ini kerana “tiada siapa di atas peduli” perkara yang diperkatakannya.

Dewan Rakyat akan bersidang mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, manakala Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 17 Dis tahun lalu.

Sumber | FMT

COMMENTS