Azam Baki tegas tak akan berundur, serah keputusan pada Agong

Azam Baki tegas tak akan berundur, serah keputusan pada Agong

Azam Baki menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak sejak seminggu lalu.

Katanya, hanya seorang individu paling layak dan boleh menamatkan tugasnya di SPRM, iaitu Yang di-Pertuan Agong.

“Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya adalah Yang di-Pertuan Agong, selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Azam berkata, beliau bukan individu yang perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

Tegasnya, beliau telah mengikuti segala protokol ditetapkan dan melakukan apa yang sepatutnya dilaksanakan dan memberi maklum balas kepada ahli lembaga penasihat SPRM adalah menjadi keutamaan beliau.

“Saya berharap semua pihak dapat bersabar terlebih dahulu bagi mengetahui tentang kebenaran ini.

“Satu hari nanti pada waktu dan ketika yang sesuai, semua orang akan tahu juga kebenarannya,” katanya.

Azam terpalit dengan isu pemilikan jutaan saham dan waran syarikat tersenarai awam semasa beliau menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Pada sidang media sebelum ini, Azam menjelaskan pembelian itu dibuat oleh adiknya Nasir dengan menggunakan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Azam menegaskan, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Sekuriti yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.

Antara isu yang dibangkitkan pelbagai pihak adalah pembiayaan pembelian saham berkenaan dan juga aspek perundangan mengenai penggunaan akaun dagangan individu oleh pihak ketiga.

Isu itu tercetus pada 14 Dis lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Tuduhan itu diuar-uarkan di media sosial dan ahli badan pemantau SPRM, Edward Terence Gomez berundur daripada jawatankuasa itu kerana mendakwa tidak ada tindakan diambil untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Beberapa pihak, termasuk Pemuda PAS mendesak Putrajaya menjalankan siasatan telus terhadap Azam dan menggesa beliau bercuti sehingga siasatan dimuktamadkan.

Sumber | FMT