Azam Baki diingatkan tidak heret Agong di sebalik kontroversi

Azam Baki diingatkan tidak heret Agong di sebalik kontroversi

Pakatan Harapan (PH) mengingatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki supaya tidak mengheret Yang di-Pertuan Agong di sebalik kontroversi berhubung pemilikan saham selepas pelbagai pihak membuat desakan supaya dirinya bercuti atau berundur dari jawatan.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berkata, perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret Agong dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.

“Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku Agong tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya majlis itu dalam kenyataan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha UPKO, Nelson Anggang itu turut menerima baik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Mencegah Rasuah (JKMR) dan Yang Dipertua Dewan Negara,Rais Yatim, yang menggesa Azam dicutikan sementara siasatan penuh dan bebas dijalankan.

Katanya, Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai semua siasatan terhadap beliau selesai.

“Sekiranya beliau enggan, kami menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam.

“Kami turut mengingatkan bahawa isu utama di sini ialah tatakelola dan urustadbir SPRM, dan siasatan penuh wajar dilakukan bukan sahaja terhadap Azam tetapi semua Ketua Pesuruhjaya yang pernah berkhidmat sebelum ini,” kata majlis itu lagi.

Majlis itu berkata, Perdana Menteri harus berhenti dari melindungi atau membela Azam secara langsung atau tidak, kerana Azam berkemungkinan telah bertukar dari penguat kuasa undang-undang anti-rasuah kepada seorang pelanggar undang-undang.

Gabungan itu juga bersetuju dengan gesaan supaya reformasi dan rombakan menyeluruh dibuat terhadap SPRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan, termasuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum ini pelbagai pihak menggesa Azam supaya bercuti atau berundur ketika kes beliau disiasat pihak berkuasa dan terbaharu gesaan sama dibuat Rais,

12 Jan lalu, Azam menegaskan beliau tidak akan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk beliau melepaskan jawatan susulan kontroversi yang melanda dirinya.

Sebaliknya, kata beliau hanya Agong boleh menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pada sidang media 5 Jan lalu, Azam berkata, beliau telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun banknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang juga menjelaskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan berkait pembelian saham berkenaan.

Sumber | FMT