AWAS | Delta kini varian dominan di Sarawak

AWAS | Delta kini varian dominan di Sarawak

Delta kini menjadi varian dominan yang menjangkiti pesakit Covid-19 di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) David Perera.

Katanya, pihaknya membuat penjujukan genom terhadap 220 kes positif pada 17 Ogos lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 179 varian membimbangkan (VOC) dan varian yang diberi tumpuan (VOI) dikesan.

“Daripada jumlah VIC dan VOI itu pula, sebanyak 178 adalah varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes VOI Indonesia.

“Hampir semua kes jangkitan di bahagian Kuching adalah varian Delta iaitu 68 daripada 69 kes,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Douglas Uggah Embas.

Mengulas lanjut, Perera berkata, kadar pengesanan tinggi terhadap varian delta juga dikesan di Bahagian Samarahan iaitu 38 kes dan di bahagian Serian, dengan 16 kes.

Selain itu, 20 kes di Bintulu, Sibu (16), Miri (sembilan), Mukah (tujuh), Betong (dua) dan Sarikei (satu).

Pada 15 Julai lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata varian Delta boleh merebak dalam masa 15 saat sahaja.

Berbanding kes positif Covid-19 sebelum ini, individu terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang daripada 15 minit dengan jarak satu meter.

Varian delta pada asalnya digelar sebagai B.1.617.2 itu pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India, pada Oktober tahun lalu.

Sumber | FMT