Anwar sedia uji majoriti di Dewan Rakyat 19 Disember, Muhyiddin diberitahu

Anwar sedia uji majoriti di Dewan Rakyat 19 Disember, Muhyiddin diberitahu

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyanggah sebarang pertikaian mengenai kestabilan kerajaan perpaduan sekarang, kerana terasnya adalah tiga gabungan besar Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan Gabungan Parti Sarawak.

“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit,” katanya pada sidang media malam tadi, dan menambah kerajaan perpaduan ini turut disertai Warisan, Muda, dan Parti Bangsa Malaysia.

Dalam kedudukan sekarang, PH mempunyai 81 kerusi, BN 30 kerusi, dan GPS 23 kerusi.

Warisan pula tiga kerusi, Muda dan PBM masing-masing 1 kerusi.

Meskipun dengan 139 kerusi – setakat ini – Anwar berkata beliau tidak menolak pernyertaan parti lain.

“Selaku perdana menteri seluruh rakyat, mewakili semua kaum, dan menjamin keharmonian, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain.”

Sementara itu, Anwar maklum Perikatan Nasional mempertikaikan keabsahan kerajaan perpaduan ini, dan sedia membuktikan kekuatannya di Parlimen.

“Kita telah tetapkan sidang Parlimen pada 19 Disember, dan usul pertama selain daripada mengangkat sumpah ialah usul daripada kerajaan – undi percaya.”

Beliau menambah langkah ini bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan ini.