Anwar dituntut kemuka bukti sokongan MP – Muhyiddin

Anwar dituntut kemuka bukti sokongan MP – Muhyiddin

Anwar dituntut kemuka bukti sokongan MP – Muhyiddin. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mencabar Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh bagi memegang jawatan perdana menteri.

Muhyiddin berkata, beliau yakin telah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri dengan mendapat sokongan 115 ahli parlimen.

“Pada jam 10.30 pagi 22 Nov 2022, setiausaha agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

“Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai perdana menteri.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai perdana menteri.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media petang ini.

Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan 73 ahli Parlimen PN; GPS (22); BN (10); GRS (6); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat ataupun (KDN) (1) dan Bebas (2).

Sokongan itu katanya dikemukakan secara akuan bersumpah (SD) dan diserahkan kepada Istana Negara sebanyak dua kali iaitu pada 21 dan 22 Nov.

Ditanya sama ada dia mengenai dakwaan 10 ahli Parlimen BN menarik sokongan, Muhyiddin kata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu, tetapi yakin telah mengemukakan jumlah mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut kenyataan Istana Negara.

Dalam pada itu Muhyiddin ketika ditanya apa tindakannya selepas ini, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat selain memberi peluang kepada Anwar mengemukakan bukti.

“Kalau (ahli Parlimen) nak sokong kena dengan SD bukan surat dari langit. Kalau hari itu saya kata 115 (ahli Parlimen sokong) tapi orang berkaitan tak hantar SD itu boleh dipertikaikan,” katanya.

Ditanya mengenai kerajaan perpaduan yang disarankan Yang di-Pertuan Agong susualan pelantikan presiden PKR sebagai perdana menteri.

Muhyiddin berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara tidak menyentuh tentang kerajaan perpaduan sebaliknya hanya mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

“Kenyataan Istana Negara saya baca berkali-kali (ia) tiada kaitan dengan kerajaan perpaduan, hanya mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri,” katanya.