Anwar angkat sumpah Perdana Menteri ke-10

Anwar angkat sumpah Perdana Menteri ke-10

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 sebentar tadi.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar, 75, di Istana Negara.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut hadir.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November) lalu.

Menurut rekod, Anwar pernah menyandang beberapa jawatan dalam kabinet iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pendidikan (1986 hingga 1991), Menteri Kewangan (1991 hingga 1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993 hingga 1998).

Beliau bagaimanapun dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 dan menubuhkan Keadilan yang terkenal dengan gerakan reformasi.

Antara pencapaian terbaiknya sepanjang dalam pentadbiran kerajaan termasuklah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh AsiaMoney pada 1996.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco) , Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, Presiden Kehormat Kebolehpercayaan dan Ahli Lembaga Penasihat Kumpulan Krisis Antarabangsa.