Akibat gagal langsai hutang RM10,000, wanita dikurung, dibelasah along

Akibat gagal langsai hutang RM10,000, wanita dikurung, dibelasah along

Bukan sahaja dikurung selama dua hari, malah seorang wanita turut dipukul empat lelaki kerana gagal membayar pinjaman along berjumlah RM10,000.

Bagaimanapun, mangsa berusia 47 tahun itu kemudian berjaya diselamatkan polis menerusi serbuan dijalankan di sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang, Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa dipukul empat lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan, kira-kira jam 5.30 petang, 3 Jan lalu.

Katanya, suspek turut melarikan kunci kereta serta dua kad ATM milik wanita itu sebelum mangsa yang cedera ringan di kepala ditinggalkan dalam hotel berkenaan.

Bagaimanapun, dua hari kemudian sepasukan anggota dari Balai Polis Central berjaya menyelamatkan mangsa pada jam 10.30 malam.

“Siasatan mendapati mangsa gagal membuat pembayaran pinjaman sebanyak RM10,000 kepada salah seorang suspek.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis kemudian berjaya menahan empat suspek pada jam 2 pagi Jumaat lalu di Jalan Perak, Jelutong di sini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,,” katanya menurut laporan Berita Harian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Shuhaily berkata, polis berjaya merampas semula barang kes milik mangsa dan semakan lanjut terhadap empat suspek berusia 25 hingga 30 tahun itu, mendapati tiada rekod jenayah atau dadah, namun mereka didapati terbabit kes khianat dengan api bersangkut laporan pada 16 Mei tahun lalu.

Katanya, berdasarkan laporan itu, seorang lelaki mendakwa berlaku kebakaran kecil di hadapan rumah di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, dipercayai dilakukan suspek yang juga along susulan seorang ahli keluarga mangsa membuat pinjaman dengan mereka.

“Bagi kes berkenaan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman empat hari berakhir hari ini,” katanya

Sumber | FMT