Akhirnya, Tuan Ibrahim akui kelemahan ‘urus tadbir’ punca masalah air di Kelantan

Akhirnya, Tuan Ibrahim akui kelemahan ‘urus tadbir’ punca masalah air di Kelantan

Setelah puas berdolak dalih, Tuan Ibrahim akui kelemahan ‘urus tadbir’ punca masalah air di Kelantan.  Menteri Air dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah utama yang membawa kepada isu bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn Bhd. (AKSB) yang tidak mampan.

Berdasarkan analisis yang dibuat, katanya, perkara itu menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk Kelantan.

“Rentetan daripada itu juga, AKSB menghadapi masalah untuk membangunkan aset air bagi memenuhi permintaan seiring dengan pertumbuhan pembangunan, menaiktaraf aset-aset sedia ada bagi meningkatkan rizab margin, kepatuhan kepada parameter kualiti air minum dan melaksanakan program penggantian paip bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),” katanya.

Tuan Ibrahim (PAS-Kubang Kerian) berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat yang dikemukakan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang baru-baru ini meminta menteri menyatakan punca masalah bekalan air di Kelantan dan rancangan penyelesaiannya.

Jawapan itu dikongsikan Nik Nazmi dalam hantaran di Facebooknya.

Sebagai rekod AKSB dan kerajaan Kelantan sering menerima kritikan berhubung isu-isu air di negeri itu, termasuk gangguan bekalan serta kualiti air yang dialami sejak sekian lama.

Kerajaan Kelantan sebelum ini juga memohon geran bernilai RM1.3 bilion daripada kerajaan pusat bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi khusus melibatkan pertukaran paip lama.

Bagaimanapun sehingga kini tiada khabar gembira dari Putrajaya berhubung permohonan berkenaan.

Rizab margin naik 30 peratus

Tuan Ibrahim berkata, penyelesaian kepada isu bekalan air bersih di Kelantan melibatkan beberapa pendekatan termasuk mengukuhkan kedudukan kewangan AKSB melalui penyelarasan tarif air serta memantapkan tadbir urus AKSB.

“Bagi meningkatkan rizab margin air terawat kepada tahap yang memuaskan, pelaksanaan projek-projek fizikal seperti naik taraf dan pembinaan loji rawatan air (LRA) baru serta program penggantian paip akan menjadi fokus utama.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan adalah naik taraf LRA dengan anggaran peruntukan bernilai RM207.2 juta melalui pinjaman kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijangka akan siap menjelang 2025.

“LRA yang terlibat ialah LRA Chicha Fasa 2 berkapasiti 10 juta liter harian (JLH), LRA Tanjung Mas berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dan LRA Bukit Chupak berkapasiti 10 JLH,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim pembinaan LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti dua JLH di bawah pembiayaan pinjaman kerajaan negeri kini telah siap 96 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Selain itu kata Tuan Ibrahim kerajaan juga melaksanakan program pengurangan NRW Kebangsaan melalui Pendekatan 1 berjumlah RM69.95 juta dijangka siap pada 2022.

“Skop kerja termasuk pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki-tangki dan penyediaan geographic information system (GIS).

“Projek Pembangunan Sumber Air Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) bermula sejak 26 Jan 2022 dengan tempoh kajian selama 18 bulan.

“Kajian ini bertujuan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan-lembangan sungai di Kelantan untuk cadangan pembinaan takungan air pinggiran sungai (Taps),” jelas Tuan Ibrahim.

Mengulas lanjut ahli parlimen Kubang Kerian itu memberitahu unjuran permintaan air Kelantan pada 2030 adalah sebanyak 860JLH.

Menyedari perkara itu, katanya, Kementerian Air dan Alam Sekitar mencadangkan pembinaan Taps dan LRA bersepadu dengan kapasiti 500JLH di Labok, Machang.

“Cadangan ini akan melibatkan pembekalan air ke hampir keseluruhan jajahan di Kelantan terutamanya Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

“Dalam hal ini, kementerian telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan Taps Machang berkapasiti 500 JLH di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RP3 RMKe-12).

“Projek ini dijangka dapat meningkatkan rizab margin kepada 30 peratus,” katanya.