Akan serah beberapa bukti bagaimana sogokan itu dibuat, kata Saifuddin

Akan serah beberapa bukti bagaimana sogokan itu dibuat, kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dia akan berusaha mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berhubung dakwaan ada usaha untuk menyogok ahli Parlimen agar menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Saifuddin, dia akan menyerahkan beberapa bukti bagaimana sogokan itu dibuat.

“Dalam masa terdekat saya sebagai setiausaha agung PKR akan tulis (surat) kepada ketua pesuruhjaya SPRM dan mohon untuk mengadakan pertemuan dengannya.

“Kalau (Azam) sedia bekerjasama, saya akan beri beberapa pembuktian bagaimana cubaan sogokan ini sedang berjalan,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin juga menggesa SPRM agar tidak menjadi “alat” untuk menampung apa yang disifatkannya sebagai kerajaan yang rapuh.

Ketika diminta mendedahkan lebih lanjut berkenaan jumlah ahli Parlimen yang menerima tawaran, atau jumlah sogokan seperti didakwa, Saifuddin berkata dia tidak akan mendedahkannya pada mas ini.

“Kita ada semua maklumat. Sekarang kita nak lihat respons SPRM dahulu. Jika tiada respons, kita akan lakukannya menerusi cara lain yang wajar,” katanya.

Pada sidang media itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif baru parti itu bagi membantu wanita yang berdepan masalah, sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini. | MK