Ahli perniagaan, rakan didenda RM1,500 ketika agih bantuan

Ahli perniagaan, rakan didenda RM1,500 ketika agih bantuan

Seorang pemilik perniagaan didenda RM1,500 ketika mengagihkan bantuan makanan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan lalu, walaupun mendakwa menerima kebenaran daripada Pejabat Daerah Sungai Siput, Perak.

Umaparan Subramaniam, yang berkhidmat sebagai anggota polis selama 12 tahun, mengutip dana untuk bank makanan dan membantu golongan memerlukan ketika pandemik Covid-19.

Dia menghantar surat permohonan kebenaran kepada Cawangan Khas daerah pada 31 Mei lalu, sehari sebelum negara dikenakan PKP penuh.

“Apabila menghantar surat, ketua Cawangan Khas memberitahu mereka tidak boleh meluluskan permohonan memandangkan ia perlu dirujuk kepada Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB),” kata Umaparan, 39, kepada FMT.

Umaparan berkata, dia kemudiannya ke PKOB daerah pada hari sama dan diberitahu oleh penolong pegawai daerah bahawa penyediaan bank makanan tidak memerlukan sebarang kelulusan.

Menurut pegawai itu, PKOB hanya diaktifkan apabila daerah itu dikenakan PKP diperketatkan (PKPD).

“Saya ingin membuat permohonan sepatutnya melalui PKOB kerana bimbang berdepan masalah dengan polis dan tidak dapat menyediakan bank makanan,” katanya.

Umaparan Subramaniam (baju biru) mengagihkan barangan di bank makanan sebelum didatangi anggota polis. (Gambar Umaparan Subramaniam)

Umaparan mendakwa seorang pegawai khas di pusat itu memberinya kebenaran dan berkata, dia akan memaklumkan kepada polis bagi pihaknya. Dia juga mendakwa diberitahu permit polis diperlukan sekiranya ingin menghantar makanan dari rumah ke rumah.

Selepas berjaya mengumpul sumbangan, dia membeli beberapa barangan untuk bank makanan yang ditempatkan di sebuah restoran milik rakannya pada 5 Jun.

Sepanjang tempoh dibenarkan beroperasi, dia berkata, seramai 22 orang datang mengambil barangan makanan dan terus beredar. Mereka juga diminta menggunakan aplikasi MySejahtera dan merekodkan suhu badan.

“Kami bermula jam 10 pagi dan setengah jam kemudian polis datang dan bertanyakan mengapa terlalu ramai orang berkumpul di situ. Mereka meminta bukti dan sebaik ia ditunjukkan, kami diarahkan mengikut mereka ke balai atas arahan ketua polis daerah,” katanya.

Walaupun diberi penjelasan katanya, dia dan rakan didenda RM1,500 setiap seorang kerana tidak melakukan pengagihan bantuan melalui PKOB atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka berkata notis kompaun dikeluarkan kepada saya sebagai penganjur dan rakan sebagai hos,” katanya.

Umaparan berkata, mereka membuat rayuan supaya notis kompaun itu dibatalkan dan masih menunggu jawapan daripada Pejabat Kesihatan Daerah. Dia juga berharap dapat berjumpa dengan ketua polis daerah berkenaan.

“Mereka tidak boleh kata saya tidak melalui proses ditetapkan. Saya mempunyai bukti berjumpa dengan pegawai khas yang memberitahu PKOB hanya diaktifkan ketika PKPD,” katanya.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid memberitahu FMT, Umaparan boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya percaya dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Mior turut menjelaskan bahawa Umaparan boleh membawa kes itu ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati.

FMT juga sedang mendapatkan maklum balas daripada polis Sungai Siput berhubung kejadian berkenaan.

Sumber | FMT