Ahli perniagaan direman, cuba rasuah polis

Ahli perniagaan direman, cuba rasuah polis

JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan direman lima hari sehingga Isnin depan kerana disyaki memberi rasuah RM45,000 kepada seorang pegawai polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap rakannya yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di Ulu Tiram, malam tadi.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Hidayah Abdul Manaf selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, membuat permohonan itu pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, suspek berusia 47 tahun itu memberi rasuah sebanyak RM45,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan untuk melepaskan rakannya-rakannya daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.

Kesalahan itu dilakukan sewaktu operasi polis di sebuah kelab malam di Ulu Tiram malam tadi.

Selain itu, ahli perniagaan itu turut meminta rakannya itu dilepaskan daripada tindakan kompaun mengikut Perkara 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/761103/ahli-perniagaan-direman-cuba-rasuah-polis