Ahli Parlimen lakukan perbuatan “jelek”, kumpul SD guna nama Agong

Ahli Parlimen lakukan perbuatan “jelek”, kumpul SD guna nama Agong

Beberapa Ahli Parlimen dikhabarkan berusaha mendapatkan akuan bersumpah bagi meraih sokongan Ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Ahli Parlimen berkenaan melakukan perbuatan “jelek” dengan mendakwa kononnya mereka mempunyai “restu” Yang di-Pertuan Agong.

Fahmi menyifatkan tindakan mereka sebagai “terdesak” untuk “mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu ketika negara berada dalam krisis.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan, kami percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata, PKR mengambil pendirian nama Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya digunakan sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang halatuju kepimpinan negara pada ketika ini.

Untuk itu katanya, tindakan kelompok yang terdesak itu wajar ditolak rakyat.

“Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu muncul ketika Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam proses berkenan menerima menghadap beberapa pemimpin utama parti politik dalam negara.

Antara pemimpin yang dilaporkan sudah mengadakan pertemuan termasuk Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad. | FMT

COMMENTS