Ahli ekonomi perjelas halangan sebenar pemulihan ekonomi negara

Ahli ekonomi perjelas halangan sebenar pemulihan ekonomi negara

Ketika Malaysia bergelut dengan pelaksanaan sekatan penuh yang lebih ketat untuk melindungi rakyat walaupun berlaku kehilangan pekerjaan serta penutupan perniagaan, pakar ekonomi berkata, negara masih dalam dilema dengan langkah seterusnya yang akan dilakukan Putrajaya untuk memulihkan kemusnahan yang berlaku akibat pandemik Covid-19.

Sebaik negara melangkah masuk ke pertengahan tahun, FMT bercakap dengan empat pakar ekonomi utama mengenai masalah terbesar yang dihadapi ketika ini dalam siri empat bahagian mengenai masa kini dan masa depan ekonomi negara.

Richard Record (Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Bank Dunia)

Biarpun eksport Malaysia menunjukkan pemulihan, Richard berkata, ia disebabkan oleh pemulihan kukuh beberapa negara lain berbanding negara ini seperti yang ditunjukkan oleh pelaburan domestik yang lemah, penggunaan serta prestasi buruk dalam sektor perkhidmatan.

“Peningkatan mendadak jangkitan terbaru menimbulkan kebimbangan terhadap kapasiti sistem kesihatan Malaysia dan kesannya terhadap kitaran berterusan pembukaan dan penutupan ekonomi ke atas isi rumah dan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan 4.5% Bank Dunia yang diturunkan daripada 6% pada Mac, adalah tertakluk kepada sejumlah risiko seperti pengawalan virus yang kurang berkesan, lebih banyak perintah sekatan dan penangguhan suntikan vaksin yang membataskan pembukaan ekonomi dengan lebih cepat.

Pergolakan politik katanya, akan menghalang kemampuan kerajaan untuk mengurus pandemik secara efektif dan menghakis keyakinan pelabur yang mana kedua-duanya akan membawa ekonomi ke tahap lebih rendah.

Carmelo Ferlito (Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pemasaran)

Carmelo berkata, Malaysia kekurangan ‘strategi keluar’ yang menggariskan bagaimana negara akan berfungsi dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.

“Ia bukan hanya meletakkan ekonomi dalam keadaan kaku untuk berbulan-bulan tetapi juga kehidupan rakyat Malaysia. Ia dipacu oleh prosedur operasi standard (SOP) bukan saintifik,” katanya.

Beliau berkata, penutupan ekonomi secara besar-besaran hanya akan menyebabkan lebih banyak perniagaan dan pekerja menderita.

Satu strategi lebih sesuai diperlukan bagi membolehkan ekonomi berfungsi dan melindungi masyarakat yang rentan serta mengesan dan mengasingkan kes.

“Tanpa satu garisan yang jelas di hadapan, orang ramai akan lebih menderita bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga psikologi sehingga menjejaskan kemungkinan pemulihan sebenar,” katanya.

Geoffrey Williams (Universiti Sains dan Teknologi Malaysia) & Paolo Casadio (Universiti HELP)

Kedua-dua ahli ekonomi berkata, keinginan kerajaan menggunakan langkah pengawalan virus yang sama walaupun tidak menunjukkan hasil menjadi penghalang terbesar buat negara.

“Saya paling bimbang apabila kita sekali lagi mengulangi kesilapan sama,” kata Williams dengan menambah bahawa walaupun langkah pengawalan tidak menunjukkan sebarang keberkesanan tetapi pembuat dasar tetap melakukannya.

“Kita tidak terbuka kepada perspektif alternatif atau ramalan yang tidak selesa serta dasar berbeza juga tidak dilayan. Pemikiran sempit ini membawa kemusnahan besar,” katanya.

Katanya, sekiranya beberapa strategi baharu tidak diterokai, negara akan terus dilanda kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan pada masa depan.

Sementara itu, Casadio bersetuju dengan berkata, pandangan “lebih rasional dan kurang emosi” berhubung pandemik amat diperlukan yang mengambil kira perlindungan terhadap ekonomi serta kesihatan awam.

Beliau berkata, dasar sedia ada hanya mengambil kira beberapa isu seperti sekatan penuh, penjarakan sosial dan vaksinasi tanpa mempertimbangkan alternatif utama.

Sumber | FMT