Agong sertai operasi cari mangsa lemas

Agong sertai operasi cari mangsa lemas

EMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa lemas di Kampung Tebing Tinggi di sini.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah meluangkan masa kira-kira sejam menyertai operasi mencari menaiki bot bersama pasukan mencari dan menyelamat.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong tiba di pusat operasi mencari di Kampung Tebing Tinggi pada pukul 2.15 petang sebelum baginda mendengar taklimat mengenai operasi pencarian.

Al-Sultan Abdullah kemudian bertemu dengan keluarga mangsa memberikan kata semangat dan menyampaikan sumbangan.

Dalam pada itu, bapa mangsa Hamka Abu Bakar, 62, berkata, kehadiran Yang di-Pertuan Agong amat bermakna dalam waktu sukar dihadapinya ketika ini.

“Saya berterima kasih bersyukur kerana baginda sudi meluangkan masa kepada rakyat seperti kami.

 

“Saya meminta anak saya dapat ditemukan kembali kerana saya berharap anak dapat dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi bin Wan Isa berkata, operasi yang memasuki hari ketujuh hari ini akan diteruskan dua hari lagi.

Ujarnya, operasi akan ditumpukan di kawasan tumpuan seperti melakukan penyelaman di bawah sangkar ikan.

Jumaat lalu seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Sungai Pahang berhampiran Kampung Kunjan di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu mangsa, Loqman Hamka, 20, keluar menaiki bot bagi melihat rawai yang dipasang di Sungai Pahang.

Bagaimanapun bot dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hanyut oleh penduduk setempat. – K! ONLINE