Agong ada kuasa abai bubar parlimen, tidak perlu dengar nasihat PM lagi – Pakar

Agong ada kuasa abai bubar parlimen, tidak perlu dengar nasihat PM lagi – Pakar

Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa secara perlembagaan untuk tidak mematuhi nasihat membubarkan parlimen yang dikemukakan oleh seseorang perdana menteri yang kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen, kata peguam perlembagaan.

Peguam kanan sivil, Nizam Bashir berkata, satu duluan (precedent) berlaku ketika krisis perlembagaan Perak pada 2009, di mana sultan mengabaikan permintaan menteri besar ketika itu, Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya.

Nizam berkata dalam situasi itu, Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah telah menolak nasihat Nizar berikutan kehilangan kepercayaan daripada majoriti anggota dewan undangan negeri.

Kerajaan negeri yang baru kemudian dibentuk dengan Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai menteri besar.

Peguam itu berkata sultan membuat keputusan mengenai kemampuan Zambry untuk mendapat kepercayaan majoriti di DUN Perak, berdasarkan penilaian terhadap Akuan Berkanun (SD).

Walaupun Nizam berkata tempat terbaik untuk menguji sokongan majoriti perdana menteri adalah di parlimen, situasi Covid-19 yang berterusan mungkin memerlukan Agong untuk tidak menggunakan Dewan Rakyat bagi menyelesaikan isu ini.

“(Semasa krisis perlembagaan Perak 2009) Nizar menghadap sultan dan minta bubar (DUN untuk mengadakan pilihan raya baru), tetapi dia ditolak.

“Nizar tidak lagi memiliki kepercayaan (dari majoriti Adun), jadi permintaan itu ditolak.

“Menggunakannya sebagai analogi, apabila bercakap tentang pembubaran parlimen, seseorang (perdana menteri) tidak boleh kehilangan kepercayaan majoriti,” kata Nizam.

“Terserah kepada Agong untuk membuat keputusan yang diperlukan. Inilah peranan perlembagaan yang dipegang oleh Agong.

“Peranan itu akan dimainkan oleh Agong dengan cara terbaik. Saya cukup kagum dengan bagaimana Agong menangani (isu ini), ”tambahnya.

Peguam perlembagaan itu mengulas senario mengenai apakah Agong boleh mengabaikan nasihat untuk membubarkan parlimen dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang didakwa oleh banyak pengkritik telah kehilangan sokongan majoriti.

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi peguam veteran, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang berpendapat Agong diberi kuasa oleh Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan untuk menolak sebarang nasihat pembubaran parlimen oleh seseorang perdana menteri yang telah kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen.

Peguam itu menjelaskan bahawa jika permintaan itu ditolak oleh Agong, maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sama menyatakan bahawa perdana menteri tersebut mesti meletakkan jawatan.

“Dan jika itu berlaku, maka Agong bebas untuk melalui semua proses yang dianggap sesuai oleh baginda seperti yang dilakukan antara 24 Februari dan 1 Mac tahun lalu, untuk melantik perdana menteri lain,” kata Haniff.

Semasa krisis politik Malaysia yang dicetuskan oleh ‘Langkah Sheraton’ awal tahun lalu, Agong melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara.

Namun, menjelang Mac tahun itu, kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir digantikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengatakan dia bersedia menghadapi usul percaya ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September depan.

Dia mendakwa bahawa Agong telah bersetuju dengan perkara itu.

Ini berikutan dakwaan bahawa perdana menteri telah hilang sokongan majoriti setelah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli parlimen parti itu yang menyokongnya menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Pengkritik Muhyiddin menuntut agar parlimen bersidang secepat mungkin untuk mengundi usul tersebut, dengan mendakwa September akan memberikan ruang kepada insiden lompat parti.

Pentadbiran Muhyiddin mendapat kritikan keras atas kegagalannya menangani wabak Covid-19, walaupun berjaya meyakinkan Agong untuk mengisytiharkan darurat, yang menyebabkan parlimen digantung.

Berita penuh | MK