Agih satu juta pelitup muka

Agih satu juta pelitup muka

Yayasan Winner Emperor Sedunia menjalinkan kerjasama dengan Harian Metro untuk menjayakan program amal bagi mengagihkan sumbangan satu juta pelitup muka kepada golongan memerlukan.

Pengasasnya, Datuk Seri Liow Soon Hee berkata, pelitup muka berkenaan dan beras akan diagihkan ke seluruh negara melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) Harian Metro.

“Bagi pihak yayasan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Harian Metro di atas kerjasama murni ini,” katanya selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan itu kepada Harian Metro diwakili Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad.

Muhamad Safar ketika ditemui mengucapkan penghargaan di atas sumbangan Yayasan Winner Emperor Sedunia dan kerjasama CSR dengan Harian Metro.

“Pelitup muka dan beras ini akan diagihkan untuk kerja kebajikan. Harian Metro banyak terbabit dengan kerja amal dan kami akan agihkannya kepada mereka yang memerlukan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Eksekutif Yayasan Winner Emperor Sedunia Datuk John Lee Kim Tian dan Pengarang Berita (Projek dan Keluaran Khas) Harian Metro Noor Azam Ab Aziz.

Mengulas lanjut, Muhamad Safar berkata, Harian Metro bercadang membuat jelajah 30 lokasi di seluruh negara secara berperingkat untuk pengagihan sumbangan.

“Kami akan bawa sekali wakil dari yayasan untuk majlis penyerahan yang akan dilakukan namun dengan kehadiran yang terhad mengikut SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/665409/agih-satu-juta-pelitup-muka