ADUN Simpang Jeram saran MB Johor isytihar 2 Mei cuti peristiwa

ADUN Simpang Jeram saran MB Johor isytihar 2 Mei cuti peristiwa

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menyarankan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, mengisytiharkan 2 Mei ini sebagai hari cuti peristiwa.

Kata Salahuddin, Johor – yang cuti hujung minggunya Jumaat dan Sabtu – memang bercuti pada 1 Mei sempena Hari Pekerja. Aidilfitri pula, katanya, dijangka disambut pada 3 Mei.

Keadaan itu, menurut Adun Simpang Jeram berkenaan, menjadikan Isnin depan sebagai hari bekerja.

“Maka menteri besar boleh menggunakan budi bicaranya mengisytiharkan 2 Mei sebagai hari cuti peristiwa.

“Jika langkah itu diambil, ia akan memberi banyak kemudahan kepada orang ramai di Johor, termasuk mereka yang perlu melakukan perjalanan pulang ke kampung,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pagi tadi Terengganu bersetuju memberikan cuti peristiwa kepada negeri itu pada 5 Mei jika 1 Syawal disambut pada 3 Mei.

Keputusan itu diumumkan menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar selepas ia dibincangkan majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini.

“Oleh kerana sekiranya hari raya pertama pada Selasa (3 Mei) dan Rabu (4 Mei) adalah hari raya kedua yang sememangnya hari cuti. Jadi, Khamis (5 Mei) ‘tersepit’ di situ kerana Jumaat dan Sabtu (6 dan 7 Mei) adalah hari cuti di Terengganu.

“Jadi ia adalah untuk memudahkan para pekerja di sektor perkhidmatan kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) Terengganu supaya mereka dapat terus berhari raya tanpa perlu datang bekerja pada Khamis (5 Mei),” katanya.