Adun Senggarang ‘cabar’ MB Johor kepentas terbuka, dengar keluhan kontraktor

Adun Senggarang ‘cabar’ MB Johor kepentas terbuka, dengar keluhan kontraktor

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim yang mewakili kontraktor hari ini mencabar Menteri Besar (MB) Johor, Dato Hasni Mohamad untuk turun mendengar suara dan keluhan kontraktor berhubung isu konsesi di negeri ini.

Khairuddin dalam satu laporan menjelaskan bahawa pihaknya akan menyediakan pentas dan membuka ruang untuk MB Johor itu mendengar keluhan kontraktor dalam program tersebut yang akan diumumkan tarikhnya kelak.

Dalam ucapan penggulungan beliau (Hasni) ada disebutkan sekiranya terdapat masalah yang berlaku bolehlah disuarakan kepada pihaknya.

“Lanjut dari itu, pihak kami bersama persatuan kontraktor bumiputera seluruh negeri Johor akan menyediakan ruang dan pentas untuk beliau bertemu dan mendengar keluhan yang akan disuarakan.

“Saya harap beliau (Hasni) boleh menyediakan telinga untuk sama-sama turun mendengar apa masalah yang berbangkit di kalangan kontarktor bumiputera dalam isu konsesi ini,” katanya kepada media.

Ketika ditanya sama ada pentas yang dimaksudkan itu berupa debat, Khairuddin menjawab ianya lebih kepada dialog antara persatuan kontraktor bumiputera dan pemimpin di negeri ini.

Katanya lagi, cadangan ini ditimbulkan berikutan rasa kurang senang kontraktor bumiputera berhubung dengan jawapan Hasni di Dewan Negeri (Dun) Johor berkaitan isu konsesi ini.

Hasni sendiri yang membuka cadangan untuk mendengar keluhan dan masalah dari kontraktor dalam ucapan penggulungan beliau Ahad lalu.

“Saya hanya menguruskan hal ini dan saya harap ia dapatlah dijernihkan dengan beliau (Hasni) mendengar sendiri masalah kontraktor yang bersuara sebelum ini dalam isu konsesi yang diamalkan oleh kerajaan. “Beliau (Hasni) pun telah berjanji sekiranya terdapat masalah yang berlaku, beliau akan membatalkan amalan konsesi ini. Jadi kita tunggu dan lihat sahajalah,” katanya lagi.

COMMENTS