“Ada logiknya…” Penyelidik ‘bingung’ penjara dijadikan tempat rawat orang hilang kewarasan sementara

“Ada logiknya…” Penyelidik ‘bingung’ penjara dijadikan tempat rawat orang hilang kewarasan sementara

“Maya” terus berpaut pada kehidupan meskipun berat kaki melangkah, saban hari, akibat dicengkam kemurungan yang amat teruk hinggakan pernah terdetik untuk mengakhiri nyawa sendiri.

Wanita berusia 38 tahun ini dikenali taulan sebagai seorang yang penuh semangat. Di sebalik penampilan yang tegas, Maya menghidap kecelaruan episod kemurungan major atau MDD (major depressive disorder) – menjadikan beliau tergolong dalam kumpulan yang kerap diasak idea bunuh diri.

"Ada betulnya..." Penjara bukan cara bantu orang berniat bunuh diri

Masalah kemurungan menjadi perhatian ketika wabak Covid-19 mengganas, di kala ramai orang hilang pekerjaan dan terbatas pergerakan dan pergaulan.

Di Malaysia, Kanun Keseksaan melihat cubaan mengambil nyawa sendiri sebagai jenayah – kesalahan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Maya, seorang penyelidik di syarikat swasta, bingung bagaimana berkongsi sel dengan penjenayah boleh merawat dirinya dan orang sepertinya.

“Kenapa ‘jenayah’? Orang itu tengah sakit. Hilang kewarasan sementara dan cuba bunuh diri. Kemudian kena penjara. Adakah ini penyelesaian yang bagus untuk sakit’ mereka?” soal Maya, yang berharap masyarakat berani merenung isu ini dari kanta perubatan dan perikemanusiaan.

“Adakah dengan penjara, mereka tak akan berfikir untuk bunuh diri?”

Statistik polis melaporkan sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan dalam tujuh bulan pertama pada 2021, meningkat 143% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, yang mencatatkan 262 kes.

Masalah kemurungan menjadi perhatian ketika wabak Covid-19 mengganas, di kala ramai orang hilang pekerjaan dan terbatas pergerakan dan pergaulan.

NGO Befrienders dan kumpulan aktivis menggesa kerajaan menyegerakan pindaan undang-undang yang mengeluarkan bunuh diri daripada senarai jenayah.

Kerajaan juga didesak mengadakan perbincangan terbuka berhubung isu bunuh diri dan kesihatan mental, bagi membantu pesakit mendapatkan bantuan.

“Orang yang ‘sakit’ nak bantuan dan rawatan pun susah, segan, takut sebab stigma, kos yang mahal (jika swasta) dan mereka tak tahu mana nak pergi dan di mana untuk dapatkan bantuan,” kata Maya.

Maya tidak pernah menyangka menghidap MDD. Beliau kemurungan setelah ayahnya meninggal dunia dan tidak lama selepas itu disahkan doktor menghidap MDD pada 2017.

Tidak mudah untuk Maya berkongsi penderitaannya dengan pembaca FMT. Katanya, insan yang paling menyayanginya, iaitu suaminya sendiri yang sering membantu, pun tidak sepenuhnya memahami apa yang dilaluinya.

“Hingga kini dia sendiri tak faham apa yang ada dalam kepada otak isterinya ini,” katanya.

“Saya jadi takut dengan diri saya sendiri. Tapi dalam masa sama, saya takut nak dapatkan bantuan profesional. Sehingga lah satu hari saya pergi ke klinik dan doktor terus rujuk saya ke psikiatri. Sehingga kini saya masih berjumpa doktor dan makan ubat untuk atasi sakit ini,” katanya.

Beliau juga menegur golongan yang menggunakan “masalah kesihatan mental” sebagai alasan untuk menutup kesalahan sendiri.

“Menyampah dengan orang yang menunggang isu kesihatan mental kalau terlibat dengan apa-apa masalah. Benda ini akan buat orang menyampah dan kami yang betul-betul terkesan ini yang jadi mangsa,” katanya.

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders Kuala Lumpur menerusi talian 03-76272929 pada bila-bila masa, atau maklumat lanjut boleh didapati di laman web Befrienders.